JIN

JIN

Jin : adalah suatu makhluk yang termasuk dalam golongan roh yang berakal yang juga ditaklifkan (menjalankan syariat Islam) sebagaimana halnya bangsa manusia. Hanya mereka itu tidak mempunyai bahan-bahan dalam bentuk benda sebagaimana diciptanya manusia. Oleh sebab itulah menurut keaslianya mereka tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia, tidak dapat diketahui bentuk asalnya dan mereka itu mempunyai kuasa untuk menjelma diri dalam bentuk lain yang kasar.

Memepercayai akan kewujudan jin termasuk dalam salah satu rukun Iman. Cara untuk mengenali jin hanyalah melalui wahyu. Kitab al-Qur’an dan sunnah Nabi s.a.w. yang memberi petunjuk kepada kita mengenai dari bahan apa jin itu dicipta. Begitu juga perihal perjalanan hidup mereka.

Mengikut kajian ulama’, syaitan adalah dari jenis jin yang jahat perangainya. Syaitan berasal daripada api dan tabiatnya menyesatkan manusia. Oleh itu ia wujud di mana saja manusia berada. Ia mempunyai kebolehan menyerupai sesuatu di alam nyata, memperalatkan tubuh manusia, malah boleh hidup dalam badan orang yang disukainya.
Selain mendatangkan punca penyakit, pengsan dan gila, jin juga kadangkala mencuri atau dipakai untuk mencuri barangan orang.

Dalam ajaran Islam kita dapat mengesan bahawa malaikat, jin dan syaitan mempunyai jalan untuk mempengaruhi manusia supaya melakukan kebaikan atau sebaliknya. Mengikut sebuah hadis Turmizi, “Malaikat menggunakan jalan itu untuk meniupkan ilham yang baik maka syaitan pula menyampaikan bisikan jahat dan mendustakan Allah…”

Orang yang bersih jiwanya dapat mendengar suara ilham yang disampaikan oleh pelawat di sudut hati. Oleh itu, orang berkenaan berasa lapang dada dan terdorong untuk beramal. Malah ilham sendiri menjadi faktor penting jiwanya berasa gembira. Orang yang kotor jiwanya didatangi oleh jin atau syaitan.

Malah mengikut surah al-Zukhruf ayat 36, Allah menyediakan satu syaitan secara tetap dalam hati yang kosong daripada zikir.


Syaitan itu menjadi sahabat karibnya. Surah Fussilat ayat 25 menghuraikan kerja syaitan berkenaan iaitu membisikkan kata-kata manis dan menghayalkan.

Sesungguhnya hasutan syaitan, jin atau roh jahat ke atas fizikal dan rohaniah manusia jelas sekali. Hasutan itu masuk ke dalam diri mereka menerusi pelbagai jalan. Antara yang paling dahsyat dan ganas ialah dengan renungan rohani ketika oarng yang berniat buruk mengamalkan jampi mentera atau sihir untuk tujuan tertentu terutamanya untuk merosakkan orang yang dibencinya.

Inilah antara rahsia ( dan Allah Maha Mengetahui ) mengapa syirik disifatkan sebagai dosa besar oleh Allah. Kerja seperti ini merosakkan kedua-dua pihak. Pengamal sihir rosak imannya, manakala mangsanya pula rosak iman, anggota dan mentalnya.

Asal Kejadian Jin
Allah s.w.t. menjelaskan dalam al-Qur’an tentang penciptaan Jin daripada api yang sangat panas. Firman Allah s.w.t.: al-Hijr : 26-27.


26. Dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia (Adam) dari tanah liat Yang kering, Yang berasal dari tanah kental Yang berubah warna dan baunya. 27. Dan jin pula, Kami jadikan Dia sebelum itu, dari angin api Yang panasnya menyerap ke liang bulu roma.

Jin itu pada asalnya dicipta daripada api yang tiada asap, sebab makna ‘as-Samuum’ itu nyalaan api yang murni sama sekali.

Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud pula menyatakan bahawa ‘api Samuum’ yang dijadikan Jin itu hanyalah satu bahagian daripada tujuh puluh bahagian api Samuum yang sangat panas itu.

Dari api yang amat panas inilah Allah telah menciptakan Jin, iaitu dari sel atau atom atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah masukkan roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki oleh Allah. Jin juga di beri izin oleh Allah menzahirkan berbagai-bagai bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah s.a.w mengikut tahap dan kemampuan masing-masing.

Jin juga diperintahkan oleh Allah menerima syariat Islam sepertimana yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia. Rupa bentuk Jin yang asal selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang mengetahuinya. Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan dan perangai Jin adalah 90 peratus mirip kepada manusia.
Jin diciptakan oleh Allah lebih dahulu dari manusia, dan mereka itu terdiri dari banyak golongan. Ada di antara mereka yang tetap teguh pendiriannya, baik perangainya serta bagus kelakuannya. Ada pula yang bodoh, lemah akal fikirannya serta lalai. Ada yang beriman dan adapula yang kafir kepada Allah dan ini adalah golongan yang paling besar dari kalangan jin. Allah s.w.t. berfirman : al-Jin : 11.

11. `Dan Bahawa Sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan Yang baik keadaannya, dan ada di antara kita Yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara Yang berlainan.

Maksudnya, ada dikalangan jin itu yang sempurna kebaikannya, ada yang sedikit sahaja, ada yang tidak baik dan ada pula yang sangat tidak baik. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Jin : 14-15.


14. `Dan Bahawa Sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan Yang beragama Islam, dan ada pula golongan Yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan Yang benar; maka sesiapa Yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan Yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan Yang benar,
15. ` adapun orang-orang (jin-jin) Yang menyeleweng dari jalan Yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka jahannam. ‘

Golongan jin diperintahkan untuk mengerjakan syari’at agama Islam sebagaimana halnya manusia, kerana Rasul yang mereka ikuti adalah Rasul dari manusia. Firman Allah s.w.t.: al-An’am: 130.


130. Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, Yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan Yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu Dengan hari (kiamat) ini? mereka menjawab: “Kami menjadi saksi mengakui akan (kesalahan) diri Kami sendiri (mendustakan Rasul-rasul itu)”. dan (sebabnya ialah) mereka telah diperdayakan oleh (kemewahan) hidup di dunia dan (kerana itulah) mereka menjadi saksi (pada hari akhirat) terhadap diri mereka sendiri: (bahawa) Sesungguhnya mereka adalah orang-orang Yang mengingkari (Apa Yang telah disampaikan oleh Rasul-rasul itu).

Dan firman Allah dalam surah ar-Rahman : 31-34


31. Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) Wahai manusia dan jin! 32. Maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?
33. Wahai sekalian jin dan manusia! kalau kamu dapat menembus keluar dari kawasan-kawasan langit dan bumi (untuk melarikan diri dari kekuasaan dan balasan kami), maka cubalah kamu menembus keluar. kamu tidak akan menembus keluar melainkan Dengan satu kekuasaan (yang mengatasi kekuasaan kami; Masakan dapat)! 34. Maka Yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, Yang kamu hendak dustakan?


Dua macam penduduk dunia yang dimaksudkan di dalam firman tuhan di atas ialah jin dan manusia.

Cara Jin Membiak.
Jin berkembang biak seperti manusia Cuma sedikit berbeza. Manusia memerlukan masa mengandung selama sembilan bulan untuk melahirkan zuriat dan anak manusia juga memerlukan masa yang lama untuk matang dan menjadi baligh.

Berbeza dengan Jin di mana, apabila di sentuh alat kelamin lelaki dengan alat kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan beranak dan anak Jin yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah keadaanya sehingga ke hari kiamat.

Iblis pula apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan mengeluarkan 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu. Begitulah proses pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat. Bunian atau lebih masyhur di kalangan orang-orang Melayu dengan panggilan orang Ghaib pula ialah hasil campuran lelaki atau perempuan Jin dengan lelaki atau perempuan dari kalangan manusia. Anak yang terhasil daripada percampuran itu dikenali dengan nama Bunian. Perangai dan tingkah laku serta rupa bentuknya orang Bunian ini dalam beberapa perkara mengikut manusia dan dalam beberapa perkara pula mengikut Jin. (lihat :Menjelajah Alam Jin)

Jika asal usul datuk manusia ialah Nabi Adam, maka asal usul datuk Jin pula ialah ” Jaan ” yang asalnya adalah beriman kepada Allah dan melahirkan keturunan yang beriman. Selepas itu terdapat pula dari keturunan Jaan yang kufur dan melahirkan pula keturunan yang kufur. Anak cucu Jaan yang asal beriman itu ada yang kekal dalam iman dan ada pula yang kufur dan ada pula yang kembali beriman kepada Allah.

Makanan Jin.

Mengikut setengah pendapat ulamak, bahawa diantara makanan jin ialah tulang, samada tulang lembu atau ayam. Oleh kerana itu sesetengah ulamak menghukum makruh, jika kita membuang tulang yang telah di makan ditempat yang kotor, seperti ke dalam longkang atau seumpamanya.

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya: ““Janganlah kamu beristinja’ dengan tahi binatang, dan juga dengan tulang kerana ia adalah makanan saudara kamu dari kalangan jin” (Riwayat at-Tirmizi)

Mengikut pandangan Ustaz Ismail bin Kamus, makanannya dari Api (Asap). Itu sebab orang-orang Melayu dilarang mengunakan kemenyan kerana Jin paling suka dengan asap yang busuk. Tetapi orang-orang melayu ini degil, suka sangat dengan asap kemenyan.

Adakah Jin Mati?
Jin beranak-pinak dan berkembang-biak . Ada pendapat mengatakan bahawa jin hanya berkembang biak, tetapi tidak pernah meninggal. Namun menurut hadits yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim, di mana Nabi Muhammad SAW berdo’a: “Ya Allah, Engkau tidak mati, sedang jin dan manusia mati…” (HR Bukhari 7383 – Muslim 717).

Agama Puak-Puak Jin.
Jin Juga seperti manusia, iaitu ada yang baik, ada yang jahat, ada yang soleh, ada yang tidak soleh, ada yang alim lagi mukmim, ada ada yang kufur, ada yang murtad, fasik dan zalim, ada yang masuk syurga dan ada yang dihumbankan oleh Allah ke dalam neraka di hari akhirat kelak.
Majoriti puak-puak Jin terdiri daripada golongan Jin kafir. Golongan Jin kafir ini kebanyakanya beragama Yahudi, Kristian, Komunis dan sangat sedikit daripada mereka yang beragama Buddha dan Majusi. Terdapat juga golongan Jin yang tidak beragama. Golongan Jin yang memeluk Islam hanyalah sedikit bilangannya dan terdiri daripada golongan manoriti jika di bandingkan dengan keseluruhan bilangan Jin.

Seperti juga manusia biasa, Jin juga berada dalam tingkat-tingkat iman, ilmu dan amalan yang tertentu berdasarkan kepada keimanan dan amalan mereka kepada Allah. Antaranya ada Jin Islam yang bertaraf awam sahaja , Jin Islam yang di tingkat iman Khawas dan Jin Islam yang berada ditingkat iman yang Khawasil-Khawas.Walaupun Jin Islam yang paling tinggi imannya dan paling soleh amalannya serta paling luas serta banyak ilmunya , tetapi masih ada pada diri mereka sifat-sifat mazmumah seperti takbur, riak, ujub dan sebagainya, tetapi mereka mudah menerima teguran dan pengajaran.

Mungkin inilah yang sering diperkatakan bahawa ” sebaik-baik Jin itu ialah sejahat-jahat manusia yang fasik. ” Tetapi yang berbezanya manusia yang paling jahat susah menerima pengajaran dan teguran yang baik.

Golongan Jin Islam yang awam dan Jin kafir suka merasuk manusia yang awam dengan berbagai-bagai cara, kerana pada pandangan mereka manusia-manusia yang awam itu bukanlah manusia sebenarnya, sebaliknya adalah rupa seekor binatang. Manusia yang Khawas dan Khawasil-Khawas tidak dapat di rasuk oleh Jin, bahkan Jin pula akan datang kepada mereka untuk bersahabat.

Jin Mendengar Bacaan Qur’an dari Rasul.
Pernah terjadi, ada beberapa tetamu yang datang ke tempat Rasulullah s.a.w. untuk mendengar bacaan al-Qur’an daripada beliau. Tetapi Raslullah s.a.w. tidak mengatahuinya sehinggalah diceritakan oleh Allah dalam firmanNya: al-Ahqaf : 29-32.


29. Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (Wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada Yang lain): “Diamlah kamu Dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!” kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. 30. Mereka berkata: “Wahai kaum kami! Sesungguhnya Kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) Yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, Yang menegaskan kebenaran Kitab-kitab suci Yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan Yang lurus (ugama Islam). 31. “Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) Yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadaNya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa Yang tidak terperi sakitnya. 32. “Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul Yang mengajaknya ke jalan Allah, maka ia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja ia melarikan diri) di bumi, dan ia tidak akan beroleh sesiapapun – Yang lain dari Allah – sebagai pelindung-pelindung Yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah Dalam kesesatan Yang nyata”.

Rupa Bentuk Jin.
Pada asasnya rupa bentuk Jin tidaklah banyak berbeza daripada rupa bentuk manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata, tangan, kaki, telinga dan sebagainya, sepertimana yang di miliki oleh manusia. Pada dasarnya 80 hingga ke 90 peratus Jin menyerupai manusia.

Cuma yang berbezanya fizikal Jin adalah lebih kecil dan halus daripada manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, ada yang terlalu tinggi dan ada bermacam-macam warna, iaitu putih, merah biru, hitam dan sebagainya. Jin yang kekal dalam keadaan kafir dan Jin Islam yang fasik itu mempunyai rupa yang huduh dan menakutkan. Manakala Jin Islam yang soleh pula mempunyai rupa paras yang elok.

Menurut sesetengah pendapat tinggi Jin yang sebenarnya adalah kira-kira tiga hasta sahaja. Pengetahuan mereka lebih luas dan umurnya tersangat panjang dan ada yang beribu tahun umurnya. Kecepatan Jin bergerak adalah melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Memandangkan Jin adalah terdiri daripada makluk yang seni dan tersembunyi, tidak zahir seprti manusia dan tidak sepenuhnya ghaib seperti Malaikat, maka ruang yang kecil pun boleh di duduki oleh berjuta-juta Jin dan ianya juga boleh memasuki dan menghuni tubuh badan manusia.

Jumlah Jin terlalu ramai sehingga menurut sesetengah pendapat bilangannya ialah jumlah semua manusia daripada Nabi Adam hingga ke hari kiamat di darab dengan haiwan-haiwan, di darab dengan batu-batu, di darab dengan pasir-pasir dan semua tumbuh-tumbuhan. Itu pun baru satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Jin.

Manakala jumlah keseluruhan Jin ialah satu persepuluh daripada jumlah keseluruhan Malaikat. Jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang lebih mengetahuinya.

Tempat Tinggal Jin

Alam kediaman Jin ialah di lautan, daratan, di udara dan di Alam Mithal iaitu suatu alam di antara alam manusia dan alam malaikat. Jika di berikan oleh Allah kepada kita melihat Jin, sudah tentulah kita akan melihat jarum yang dijatuhkan dari atas tidak akan jatuh ke bumi, tetapi hanya jatuh di atas belakang Jin, disebabkan terlalu banyaknya jumlah mereka.

Sebab itulah orang-orang tua kita selalu berpesan supaya anak-anak segera balik ke rumah apabila telah tiba waktu maghrib dan pintu serta tingkap rumah mesti di tutup, supaya tidak dimasuki oleh Syaitan dan Iblis.

Sebagaimana sebuah Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

” Apabila kamu menghadapi malam atau kamu telah berada di sebahagian malam maka tahanlah anak-anak mu kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran ketika itu dan apabila berlalu sesuatu ketika malam maka tahanlah mereka dan tutuplah pintu-pintu rumahmu serta sebutlah nama Allah, padamkan lampu-lampu mu serta sebutlah nama Allah, ikatlah minuman mu serta sebutlah nama Allah dan tutuplah sisa makanan mu serta sebutlah nama Allah ( ketika menutupnya ) ”

Hadis di atas bermaksud bahawa Jin dan Syaitan akan tidur di waktu siang dalam cahaya dan sinar sehingga menjelang petang, di mana pada waktu itu mereka berkeliaran mencari rezeki dan makanan, baik lelaki maupun perempuan, samada yang dewasa atau kanak-kanak.

Ada yang mengatakan jin tinggal di dalam gua, laut dan hutan. Berikut adalah beberapa riwayat yang menjelaskan mengenai tempat tinggal jin agar kita tidak mengganggu mereka dan mereka tidak mengganggu kita.

1. Abu Muhammad (Abu Syeikh) di dalam kitabnya “Al-Uzmah” menceritakan satu bab khusus tentang jin dan kejadiannya. Beliau meriwayatkan satu hadis daripada Bilal bin Al-Haris. Katanya:

Rasulullah meminta aku membawa satu bekas air. Aku (Bilal bin Al-Haris) membawakan satu baldi air dan kuletakkan di dekatnya. Tiba-tiba aku mendengar suara gemuruh, iaitu suara pergaduhan yang belum pernah kudengar bahasa yang mereka pergunakan. Setelah Rasulullah mengetahui bahawa aku pun mendengar apa yang baginda dengar, maka baginda bersabda: “Jin muslim dan musyrik sedang bergaduh dan memohon kepadaku untuk mendamaikan mereka. Maka jin yang Muslim saya tempatkan di kawasan yang bernama Jalis manakala jin yang musyrik saya tempat di kawasan yang bernama Ghour.”

Perawi hadis ini, iaitu Abdullah bin Katsir bertanya kepada ayahnya, “Apakah Jalis dan Ghour itu?”

Katsir menjawab, “Jalis adalah suatu tempat yang terletak di dusun dan kawasan pergunungan, sedang Ghour adalah antara gunung dan lautan.” Abdullah bin Katsir seterusnya berkata, orang yang diganggu jin di Jalis kebanyakannya selamat, sedangkan yang diganggu di antara lautan dan gunung jarang sekali yang selamat.

2. Imam Zamakhsyari di dalam kitabnya “Rabiul Abrar” menjelaskan bahawa orang-orang di dusun berkata, “Kami pernah singgah di suatu kawasan di mana terdapat ramai orang dan ada beberapa khemah. Tetapi tiba-tiba orang ramai dan khemah-khemah tersebut hilang dari pandangan kami. Mereka merasa yakin bahawa orang-orang itu adalah jin, sedangkan khemah-khemah itu adalah tempat tinggal mereka.”

Dengan itu jelas bahawa adakalanya jin itu boleh dilihat oleh manusia. Yakni sama ada mereka yang boleh melihat jin itu kerana kekuatan ilmunya atau kerana jin-jin itu menyamar sebagai manusia.

3. Imam Malik di dalam kitab “Al-Muwatha” meriwayatkan bahawa ada berita yang sampai kepadanya, iaitu ketika Umar bin Khattab r.a. hendak pergi ke Iraq. Ketika itu Ka’bul Akhbar berseru kepada beliau, “Wahai Amiril Mukminin, janganlah engkau pergi ke sana, sebab di Iraq terdapat 9/10 sihir dan banyak jin-jin yang jahat dan fasik serta penyakit yang sukar diubati.”

Jin Suka Tinggal Di Tempat Kotor

Berikut adalah satu riwayat yang menjelaskan bahawa setiap Muslim diikuti oleh jin yang Muslim pula. Riwayat ini berasal daripada Yazid bin Jabir r.a.: “Tidak ada satu keluarga Muslim, kecuali pada atap rumahnya terdapat jin yang Muslim pula. Bila keluarga Muslim itu telah menyiapkan makanan pagi, jin itu pun turun dan ikut makan bersama; dan bila mereka makan petang, jin itu turun dan makan petang bersama mereka. Dengan jin itu Allah Ta’ala menjaga keluarga berkenaan.”

Jin juga suka tinggal di tempat-tempat kotor seperti tandas, kolam dan tempat-tempat pembuagan sampah. Oleh itu dilarang buang air di sebarang tempat kerana dibimbangkan tempat itu menjadi tempat tinggal jin.

Sabda Nabi s.a.w.: “Tandas itu tempat yang sering didatangi jin. Oleh itu bila kamu masuk ke tandas, berdoalah dengan doa: Ya Allah, aku berlindiing kepada-Mu dari syaitan laki-laki mahupun syaitan perempuan.”

Melihat Jin.
Pada prinsipnya Jin tidak boleh di lihat, di sentuh dan di dengar oleh manusia dalam bentuk yang asal sebagaimana ianya diciptakan, kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu, Jin boleh di lihat dalam rupa bentuk yang diingininya.

Jin juga boleh di lihat oleh manusia dalam keadaan sihir atau ketika meminum air sihir atau melalui kemahuan Jin itu sendiri untuk memperlihatkan dirinya kepada manusia.Di dunia semua Jin boleh melihat manusia manakala manusia yang Khawas dan Khawasil-Khawas sahaja yang boleh melihat Jin selain daripada para Nabi dan Rasul. Manakala di akhirat pula semua manusia mukmin yang ahli syurga boleh melihat Jin manakala Jin yang Khawas dan Khawasil-Khawas sahaja yang boleh melihat manusia.

Antara kelebihan Jin yang telah diberikan oleh Allah ialah kemampuannya untuk mengubah dirinya dalam berbagai bentuk dan rupa. Contohnya dalam peperangan Badar, Iblis telah menampakkan dirinya dalam bentuk seorang lelaki dari Bani Mudlij dan Syaitan pula dalam rupa Suraqah bin Malik yang datang membantu tentera musrikin memerangi tentera Islam. ( Iblis dan Syaitan adalah juga merupakan sebahagian daripada golongan Jin ).

Dalam Sahih Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa adanya Jin yang menampakkan dirinya dalam bentuk seekor ular dan membunuh seorang pemuda yang cuba membunuh ular tersebut. Di samping itu Jin juga boleh menampakkan dirinya dalam rupa bentuk haiwan yang lain seperti rupa bentuk kucing, anjing dan sebagainya.

Nabi Sulaiman Memerintah Jin
Allah s.w.t. menundukkan jin kepada Nabi Sulaiman a.s. Dan tidak terjadi kepada manusia yang lain. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t., surah Sabaa’: 12-13.

12. Dan Kami kurniakan kepada Nabi Sulaiman Kuasa menggunakan angin untuk perjalanannya: sepagi perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan, dan sepetang perjalanannya adalah menyamai perjalanan biasa sebulan; dan Kami alirkan baginya matair dari tembaga; dan (Kami mudahkan) sebahagian dari jin untuk bekerja di hadapannya Dengan izin Tuhannya. dan sesiapa dari jin itu Yang menyeleweng dari perintah kami, Kami akan merasakannya (pukulan) dari azab api neraka. 13. Golongan jin itu membuat untuk Nabi Sulaiman apa Yang ia kehendaki dari bangunan-bangunan Yang tinggi, dan patung-patung, dan pinggan-pinggan hidangan Yang besar seperti kolam, serta periuk-periuk besar Yang tetap di atas tukunya. (setelah itu Kami perintahkan): “Beramalah kamu Wahai keluarga Daud untuk bersyukur!” dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu Yang bersyukur. (Saad 36-39)

36. Maka (Kami kabulkan permohonannya lalu) Kami mudahkan baginya menggunakan angin Yang bertiup perlahan-lahan menurut kemahuannya, ke arah mana sahaja Yang hendak ditujunya; 37. Dan (Kami mudahkan baginya memerintah) jin Syaitan; (ia memerintah) golongan-golongan Yang pandai mendirikan bangunan, dan Yang menjadi penyelam (bagi menjalankan kerja masing-masing). 38. Dan jin-jin Syaitan Yang lain dipasung Dalam rantai-rantai belenggu. 39. (serta Kami katakan kepadanya): ” Inilah pemberian Kami (kepadamu), maka berikanlah (kepada sesiapa Yang Engkau suka), atau tahankanlah pemberian itu; (terserahlah kepadamu) Dengan tidak ada sebarang hitungan (untuk menyalahkanmu) “.

Nabi Sulaiman a.s. pernah meminta kepada salah seorang yang ada dalam majlis pertemuannya, supaya didatangkan istana Ratu Balkis, seruan itu disambut oleh jin Ifrit, sebagaimana yang diungkapkan di dalam firman Allah, surah an-Naml 38-39:

38. Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu Yang dapat membawa kepadaKu singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku Dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” 39. Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum Engkau bangun dari tempat dudukmu, dan Sesungguhnya Aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”.

Kumpulan-Kumpulan Jin.

Jin juga seperti manusia yang inginkan keturunan dan hidup berpuak-puak. Puak dan kumpulan Jin terlalu banyak dan bercakap dalam berbagai-bagai loghat dan bahasa. Ada sesetengah ulama membahagikan Jin kepada beberapa kumpulan, antaranya kumpulan yang menunggu kubur, kumpulan yang menunggu gua, kumpulan yang menunggu mayat manusia, kumpulan yang menunggu hutan rimba, kumpulan yang menunggu bukit bukau, kumpulan yang menunggu air mata air, kumpulan yang menunggu tasik, kolam, teluk, kuala, pulau dan sebagainya.
Keturunan dan Bangsa Jin.
Sama seperti manusia Jin juga terdiri dari pada berbagai jenis atau bangsa, antara yang tersohor ialah :-
1. Iblis Bapa dan pujaan kepada semua jenis Jin, Iblis dan Syaitan.
2. Asy-Syaitan iaitu golongan Syaitan-syaitan
3. Al-Maraddah iaitu golongan Peragu-peragu ( pewas-was )
4. Al-Afrit iaitu golongan Penipu-penipu
5. Al-A’waan iaitu golongan Pelayan-pelayan
6. Al-Toyyaaruun iaitu golongan Penerbang-penerbang
7. Al-Ghawwaasuun iaitu golongan Penyelam-penyelam
8. At-Tawaabin iaitu golongan Pengikut-pengikut ( pengekor )
9. Al-Qurana iaitun golongan Pengawan-Pengawan
10. Al-Ummaar iaitu golonganPemakmur.
11. Thubar Merasuk manusia yang di timpa musibah dan bala.
12. Daasim Merasuk manusia untuk menceraikan ikatan silatulrahim, rumah tangga, keluarga, sahabat handai, jemaah dan sebagainya.
13. Al-‘Awar Merasuk manusia supaya meruntuhkan akhlak, berzina, minum arak, liwat, berjudi dan sebagainya.
14. Zalanbuur Merasuk manusia dengan api permusuhan dan pembunuhan.
Iblis. Adalah suatu nama yang merupakan nenek moyang seluruh syaitan, mereka ini berasal dari golongan Jin. Iblis akan tetap hidup sampai hari kiamat. Ini kerana Allah pernah menerima permintaannya agar ditangguhkan kematiannya sehingga ke Hari Qiamat. Sebagaimana firman Allah dalam surah Saad : 80-81.


80. Allah berfirman: ” Dengan permohonanmu itu, maka Sesungguhnya Engkau dari golongan Yang diberi tempoh – 81. ” hingga ke hari masa Yang termaklum “.

50. Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan Iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, Patutkah kamu hendak menjadikan Iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib Yang menjadi pemimpin selain daripadaku? sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. amatlah buruknya bagi orang-orang Yang zalim: pengganti Yang mereka pilih itu.
Syaitan. Adalah golongan yang keterlaluan dari bangsa jin. Syaitanlah yang bertugas untuk menggoda dan menyesatkan manusia. Agar manusia benar-benar teruji dalam kehidupannya. Akan tetapi di sisi manusia selain syaitan yang menggoda kepada keburukan Allah juga mengirimkan malaikat bersamanya agar manusia mampu membezakan di antara buruk dan baik.

Tetapi kebanyakkan manusia sering terjerumus kepada keburukan dan kejahatan lantaran kuatnya godaan syaitan dan kerana lemahnya iman. Jika seseorang manusia kuat imannya dan patuh kepada perintah Allah sudah pasti syaitan tidak mampu menggodanya, biar sekuat mana godaan sekalipun.

Iblis dan Syaitan juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka merupakan golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah sehingga ke hari kiamat. Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud :

” Iblis menjawab : Sebab engkau telah menghukum aku dengan tersesat, aku akan menghalang mereka dari jalanMu yang lurus. Kemudian aku akan mendatangani mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari kanan dan kiri mereka. Engkau tak akan mendapati kebanyakkan dari mereka bersyukur ( taat ).”

Ifrit. Adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah s.w.t.

Azazil. Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin, sebenarnya beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya berbanding dengan manusia ( Adam ). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah telah melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.

Kerajaan Jin.

Jin juga mempunyai pemimpin dan kerajaannya yang tersendiri. Antara Raja Jin alam bawah yang kafir ialah seperti Mazhab, Marrah, Ahmar, Burkhan, Syamhurash, Zubai’ah dan Maimon. Empat raja Jin Ifrit ( Jin yang paling jahat ) yang mempunyai kerajaan yang besar yang menjadi menteri kepada Nabi Allah Sulaiman a.s ialah Thamrith, Munaliq, Hadlabaajin dan Shughal. Manakala Raja Jin Alam atas yang Islam pula ialah Rukiyaail, Jibriyaail, Samsamaail, Mikiyaail, Sarifiyaail, ‘Ainyaail dan Kasfiyaail. Raja Jin yang mengusai kesemua jin-jin tersebut bernama Thothamghi Yam Ya Li. Manakala Malaikat yang mengawal kesemua Jin-Jin di atas bernama Maithotorun yang bergelar Qutbul Jalalah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s